Bayi baru lahir hari pertama dan kedua cenderung menangis. Situasi apabila bayi menyusu dan mula tertidur, bila dilepaskan dan diletakkan di katil, die menangis kembali dan mahu menyusu lagi. Persoalannya? Adakah bayi anda lapar?
Biasanya ibu baru akan diyakinkan dengan puncanya, susu tiada lagi dan bayi lapar. Jadi susu formula diberi pada bayi. Betul ke?
Jom kita fahami kenapa bayi cenderung menangis.
Habitat asal bayi selama 9 bulan ialah di alam rahim, dimana bayi tinggal dengan mendengar jantung ibu, alunan air ketuban yang mengelilingi, bunyi paru-paru.Sempit dan gelap. Ya itu rumah saya! Kata bayi.
Tiba-tiba segalanya bertukar, dia terpaksa berpindah dari rumah itu ke rumah lain (dunia) yang luas, terang, bising, dipakaikan baju, sarung tangan, topi dan selimut. Dipangku oleh ramai orang dan dimandikan, makan melalui mulut dan berak melalui salur najis. Sebelum ini tak pernah pakai baju, tak pernah mandi pun. Saya makan dan buang air besar pun melalui uri (plasenta) -kata bayi.
Semua ini menimbulkan kurang senang bayi dan dia tak selesa.
Hanya satu tempat yang dia selesa iaitu dada. Ia adalah tempat yang paling dekat dengan rumah asal bayi (rahim) dan paling dekat dengan denyutan jantung.
Kesimpulan, menyusu bukan sahaja kerana bayi lapar. Tetapi kerana ia adalah habitat asal bayi untuk memberi ketenangan, keselesaan dan keselamatan. Fitrah bayi baru lahir memang begitu,bayi bukan menyusu saja. Dia mencari keselesaan. Bila dilepaskan dari menyusu, bayi adakalanya mula menangis dan mahu menyusu kembali.
Apa yang anda perlu buat? Anda perlu guna teknik yang betul untuk melepaskan bayi dari menyusu setelah dia tertidur. Teknik melepaskan bayi setelah bayi berhenti menyusu, kemudian biarkan bayi di dada sehinggalah bayi benar-benar tidur lena (deep sleep). Bayi tidak rasa diganggu bila digerakkan ketika "deep sleep". Kadang kala bayi anda menyusu dan tertidur, dia masih di fasa "mamai/baru nak lena" jadi dia terganggu bila digerakkan dan masih mahu menyusu. Biarkan saja dia menyusu, ia normal. Ia cara bayi anda menenangkan diri dan menyelesakan dirinya. Tempoh dari fasa "mamai" kepada "tidur lena" biasanya dalam setengah jam.
Lagi teknik yang membantu, tanggalkan sarung tangan bayi. Tangan bayi umpama "rakan baik" bayi ketika itu. Menghisap jarinya ialah cara dia menenangkan diri dari ketidakselesaan. Ketika anda menyusu, biarkan jari bayi anda menyentuh anda, bayi perlukan sentuhan dan rasa kulit anda dan dia, untuk selesa malah supaya hormon oksitosin anda tinggi dan meningkatkan produktiviti susu anda sendiri! Bayangkan selama 9 bulan tangan bayi lepas bebas di alam rahim, aktiviti utama dia di rahim ialah menghisap jarinya sendiri. Tiba-tiba "kawan baik" nya dirampas, malah dihilangkan dengan memakaikan sarung tangan. Bayi sudah tiada cara/pilihan untuk menenangkan dirinya lagi!
Biarkan bayi menghisap jari dan susu anda, bukan menggantikan dengan puting tiruan.
Apapun, situasi bayi kerap menangis dan mahu menyusu sepanjang masa kadangkala berlaku apabila terlalu ramai orang di rumah anda, anda ke tempat baru seperti klinik, hospital, kereta, tempat membeli belah dan kampung halaman. Jangan panik dengan situasi ini, kadangkala bayi perlukan lebih masa untuk berada di dada anda, bukan untuk menyusu sahaja. Kerana pada bayi, ia tempat yang dekat dengan rumah asalnya.
Para ibu semua, masih ingat lagi ketika hari pertama kita ke sekolah? Selama 7 tahun di rumah bersama ibu bapa, dan tiba-tiba kita ditinggalkan didalam kelas bersama guru dan ramai budak yang kita tidak kenal, tentu rasa takut dan risau, juga rindu pada mak ayah kita waktu minggu awal mula sekolah darjah 1 kan? Begitulah bayi kita, berubah dari rahim ke dunia juga dia mengalami perasaan takut yang sama kita rasai bila bertukar ke persekitaran dan tempat baru sama ada masuk darjah 1 atau hari pertama masuk ke sekolah asrama atau hari pertama posting/bekerja di tempat baru.
Semoga penulisan ini, akan membantu anda menghadapi hari awal kelahiran bayi anda :)
Sumber dari http://kellymom.com/ages/newborn/bf-basics/second-night/
No comments:
Post a Comment