Friday, April 30, 2010

Guru Oh Guru


Dalam menyoroti perjuangan dan cabaran tugas seseorang guru itu, Sasterawan Negara, Dato' Usman Awang telah tergerak hati untuk menukilkan sebuah sajak khusus bagi menghargai jasa-jasa warga guru yang bertajuk 'Guru Oh Guru' ;

Dialah pemberi paling setia,
Setiap akar ilmu miliknya,
Pelita dan lampu segalanya,
Untuk manusia jadi dewasa

Dialah ibu bapa dan sahabat,
Alur kesetiaan mengalir nasihat,
Pemimpin yang ditauliah segala umat,
Seribu tahun katanya berhikmat.

Jika hari ini Perdana Menteri berkuasa,
Jika hari ini Raja menaiki takhta,
Jika hari ini presiden sebuah negara,
jika hari ini ulama mulia,
Sejarahnya dimulakan oleh guru biasa,
Dengan lembut sabar,
Mengajar tulis baca.

Di mana dia berdiri di muka muridnya,
Di sekolah mewah di ibu kota,
di bangunan tua di sekolah Hulu Terengganu,
Dia guru wakili seribu buku.

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa,
Semakin bererti tugasnya pada negara,
Jadilah apa pun pada akhirnya,
Budi yang diapung di dulang ilmu,
Panggilan keramat 'cikgu' terpahat,
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Demikian syahdunya pujian dan sanjungan beliau terhadap tugas seorang guru kepada anak bangsa. Meskipun pada waktu yang sama tugas anggota polis, tentera, bomba, doktor, petani dan jururawat juga amat penting, namun tugas seorang pendidik lebih murni dan unggul. Guru adalah nukleus kepada semua komponen pekerjaan dan tenaga kerja yang dinyatakan itu.

Baik serta efektifnya hasil dan kualiti didikan guru itu, maka baiklah mereka yang bakal memenuhi profesion-profesion berkenaan pada masa akan datang dan begitulah sebaliknya.
Mari kita sama-sama renungi hakikat berikut:

"Jika hari ini, seorang Perdana Menteri, seorang Presiden, seorang Raja yang berjiwa rakyat, Jika hari ini, seorang peguam petah berbicara, seorang jurutera binaannya tegar, seorang arkitek lakarannya diterima, Jika hari ini, seorang saintis menemui formula, seorang doktor pembedahannya berjaya, seorang pengurus dikasihi pekerjanya, Jika hari ini, seorang penulis karyanya terkemuka, seorang hartawan mendermakan harta, seorang pensyarah menjana cendekia, seorang gradua visinya ketara, Jika hari ini, seorang ulama' telus tarbiyahnya, seorang ahli sukan bergelar juara dunia, seorang menjadi dewasa, semua orang sejahtera dan bahagia."

Siapakah yang melahirkan insan gemilang yang terungkap dalam coretan di atas?

Bukankah kaum guru yang telah rela hati dan ikhlas jiwa raga menyalakan obor menerangi lorong-lorong dan liku-liku ilmu yang gelap-gelita itu?

Bukankah jasa warga 'mu'allim' yang telah meneruja dan membangkitkan semangat para pelajar sehingga terserlah kehebatan dan bakat cemerlang mereka itu?

Demikian hebat dan agungnya pengorbanan guru yang sejati dan bestari. Seluruh jiwa dan raga, hidup dan matinya adalah untuk berkhidmat, mendidik dan memimpin putera puteri nusa tercinta. Oleh yang demikian, setinggi mana pun kedudukan dan pangkat kita, jangan kita lupa akan jasa dan bakti mereka dalam menyampaikan ilmu pengetahuan kepada kita sehingga kita menjadi orang yang berguna dan 'dewasa' dalam pelbagai perkara.

TERIMA KASIH WAHAI GURU!

Sumber:
*Buku: Guru Bestari Pelajar Jauhari(Mohd Puzhi Usop,2008). Kuala Lumpr: Al-Hidayah Publications.